Saturday, March 14, 2009

HARIAN METRO : PERHIMPUNAN 50 ARP

JABATAN Belia dan Sukan Negeri Kedah (JBSNK) mengadakan perjumpaan khas bagi menghimpunkan ahli Anugerah Remaja Perdana (ARP) di Kompleks Belia dan Sukan, Alor Star, baru-baru ini.

Perjumpaan khas itu disertai 50 pelajar dari seluruh Kedah itu bertujuan memberi taklimat kepada ahli ARP mengenai aktiviti yang bakal dijalankan sepanjang tahun ini.


ARP adalah satu program khas yang memberi rangsangan fizikal dan mental selain menyediakan pembangunan diri remaja berumur 14 hingga 25 tahun.

Pemimpin Pasukan Kelana Laut Negeri Kedah merangkap jurulatih ARP, Azmi Din, berkata pelbagai aktiviti diadakan sebelum ini, antaranya kem motivasi, kem kepimpinan, khidmat masyarakat, rekreasi fizikal dan sukan, kemahiran dan inovasi, ekspedisi serta aktiviti lasak.

Katanya, program itu membolehkan ahli ARP bertukar pengalaman dengan kenalan baru selain mengasah minat dan bakat terpendam mereka.

"Menerusi pelbagai program ini, kami mengharapkan ahli ARP dapat mengenali keupayaan diri sendiri dan memupuk amalan gaya hidup yang sihat dalam kalangan generasi muda.

"Pencapaian yang mereka miliki bukan saja untuk kepuasan peribadi tetapi mendapat pengiktirafan dan anugerah daripada Kementerian Belia dan Sukan," katanya.

Bagi pelajar SMK Jabi, Nur Fatinajua Zainol, dia menyertai ARP untuk mengisi masa lapang.

Katanya, sejak setahun menyertai ARP, dia seronok kerana dapat meluaskan kenalan dari sekolah lain.

"Memang seronok, selain meluaskan pergaulan, kami dapat saling membantu dalam pelajaran," katanya.

Amirul Asyraf Hamzah dari SMK Hosba, menganggap program itu memberi motivasi dan ketahanan diri.

"Program ini bagus untuk remaja kerana mengisi masa lapang dan terbabit dalam pelbagai program berfaedah," katanya.


HARIAN METRO, VARIASI 14 MAC 2009

No comments: